Apa itu penyeliaan ?
Penyeliaan boleh didefinisikan secara formal sebagai perhubungan antara seorang
ahli yang lebih berpengalaman (senior) dengan seorang ahli baru (junior) sesuatu
profesion. Perhubungan itu adalah (a) evaluatif, (b) berlaku dalam jangka waktu tertentu, (c) berkhidmat untuk mempertingkatkan kemahiran ahli baru, (d) memantau kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh ahli baru itu, dan (e) bertindak sebagai pengawal pintu (gatekeeping) kepada profesion itu ( Bernard & Goodyear, 1992, 2004).
Kaedah Penyeliaan Kaunselor
Cara penyeliaan kaunselor adalah berbeza bergantung kepada objektif dan
matlamat iaitu dalam bentuk penyeliaan latihan makmal, praktikum dan internship.
Proses penyeliaan kaunselor pelatih berbeza mengikut objektif penyeliaan samaada
secara mikro atau makro. Proses penyeliaan yang berbentuk mikro lebih merupakan ciri
proses pengajaran dan pembelajaran. Ciri ini biasa digunapakai semasa penyeliaan
Peringkat 1 yang dikenal sebagai Latihan Makmal.
Ciri proses penyeliaan berbentuk makro pula lebih tertumpu kepada amalan
kaunseling yang luas apabila kaunselor pelatih mula diselia dalam konteks suasana
penyeliaan Peringkat 2 iaitu semasa Praktikum Kaunseling dan Peringkat 3 semasa
Internship Kaunseling. Pada Peringkat 4 penyeliaan lebih menumpukan kepada
penyeliaan kaunselor profesional.
Penyeliaan Semasa Latihan Makmal – Peringkat 1
Latihan kaunseling dalam makmal merupakan pendedahan awal bagi seorang
kaunselor pelatih mendapatkan pengalaman pembelajaran tentang kemahiran asas
kaunseling. Latihan kaunseling dalam makmal boleh dianggap sebahagian daripada
proses pengajaran dan pembelajaran mikro tentang penguasaaan kemahiran asas
kaunseling.
Dalam Peringkat 1 latihan kaunseling, penyeliaan memberi tumpuan kepada ciri
pengajaran mikro tentang kemahiran melayan dan mendengar serta teknik kaunseling.
Dalam proses intergrasi penyeliaan, penyelia dianggap sebagai seorang yang pakar dan
boleh menghasilkan tunjuk ajar atau demontrasi bagaimana kemahiran asas kaunseling
yang spesifik dapat dilakukan oleh kaunselor pelatih.
Penyelia bertanggungjawab untuk menyampaikan bimbingan kepada kaunselor
pelatih tentang penggunaan kemahiran melayan yang spesifik sesuai dengan orientasi
teori kaunseling yang dianuti kaunselor pelatih.Dalam latihan mikro , kaunselor pelatih
juga diajar mengenal pasti perbezaan perkembangan proses kaunseling dari permulaan
kemasukan sehingga tamat satu sesi kaunseling. Pembelajaran tentang pemeringkatan
proses kaunseling penting kerana ianya dapat menunjukan kepada kaunselor pelatih suatu
perkembangan yang dilalui oleh seorang kaunselor pelatih dengan kliennya dalam satu
sesi kaunseling.
Penyeliaan Praktikum Kaunseling – Peringkat 2
Praktikum kaunseling memberi peluang kepada kaunselor pelatih untuk
menerapkan segala kefahaman konseptual tentang teori serta kemahiran asas kaunseling
dan teknik kaunseling dalam ssuasana amali yang terkawal.
Amalan praktikum masih memerlukan pengawalan serta penyeliaan yang
rapi secara mikro.
Pendedahan kaunselor pelatih kepada suasana perhubungan menolong yang
terkawal ini dapat memberikan peluang menerapkan orientasi teori pendekatannya dan
berani membetulkan kelemahan yang mungkin dihadapi semasa menjalankan sesi
kaunseling.
Tindakan mengalihkan sesuatu yang dipelajari secara bentuk konseptual
kepada terapan secara tindakan nyata dalam proses kaunseling sering menjadi kerumitan
oleh kaunselor pelatih yang baru menceburi dalam alam kaunseling.
Penyeliaan Internship – Peringkat 3
Kaunselor pelatih semasa internship berpeluang melaksanakan sesi
kaunseling dengan klien sebenar dalam suasana alam pekerjaan profesional. Kaunselor
pelatih akan berhadapan dengan kebebasan autonomi tugasnya mengikut peraturan
organisasi di mana ia berkhidmat semasa internship.
Kaunselor pelatih mula belajar memikul tanggungjawab tugas sepertimana
rakan sekerja di tempat internshipnya dan dianggap sebahagian daripada kakitangan
organisasi tersebut.
Pemantauan penyeliaan internship lebih berbentuk makro.Penyelia akan
memantau secara keseluruhan tugas yang dijalankan oleh kaunselor pelatih, disamping
memberi penekanan kepada perkembangan personal kaunselor pelatih. Penekanan
perkembangan personal ini fokus kepada pergerakan kematangan pelatih ke atas
intergrasi pendekatan kaunselingnya serta kesedaran terhadap tanggungjawab perlakuan
profesional.
Dalam alam internship , kaunselor pelatih bertanggungjawab secara
langsung tentang perancangan dan perlaksanaan program kaunseling ditempat
perkhidmatannya. Penyelia wajar memahami misi serta tujuan organisasi dimana
kaunselor pelatih berkhidmat menjalankan internshipnya.
Perlakuan serta etika profesional penting diberi fokus dalam pencerapan
penyeliaan internship. Penyelia mesti sedar bahawa peranannya sebagai tenaga sumber
rujukan, perunding dan pakar secara langsung melibatkan dirinya dengan amalan prinsip
vicarious liability semasa perhubungan interaksi penyeliaan intership. Penyelia juga turut
menanggung sebahagian tanggungjawab ke atas perlakuan seorang kaunselor pelatih.
Jaminan paling asas dalam menjaga amalan kaunseling adalah proses
kaunseling teratur serta sistematik. Kaunselor pelatih wajar cekap dengan simpanan
rekod kaunselingnya.
Penyeliaan internship beranjak dari pengajar mikro kepada pencerapan
makro sealiran dengan kesinambungan terapan kompenen kemahiran asas kaunseling dan
teknik kaunseling.
Pentaksiran penyeliaan internship memberi tumpuan kepada keluwesan
di antara konseptualisasi kes kaunseling melalui diagnosis kaunseling dengan keserasian
strategi perancangan rawatan kaunseling serta perlaksanaan kaunseling keseluruhan.
Kaunselor pelatih ditarafkan sebagai seorang profesional dalam latihan
dan peranan percubaan ini selari untuk menentukan kewibawaannya sebagai seorang
profesional yang terlatih.
Penyeliaan Kaunselor Profesional – Peringkat 4
Akta Kaunselor 580 Undang- Undang Malaysia menyatakan semua
individu yang mengamalkan kaunseling wajib berdaftar dengan Lembaga Kaunselor
(Akta 580 Undang-Undang Malaysia,1998).
Pengawalan profesion kaunseling melalui akta tersebut memberi kuasa
keatas jaminan amalan terbaik profesion kaunseling di Malaysia. Pengawalan jaminan
amalan terbaik inilah yang wajar menjadi teras penyeliaan kaunselor profesional yang
mengamalkan khidmat kaunseling.
Sorotan kertaskerja Bengkel Latihan Penyeliaan Tahap II (Amali) Kaunselor Berdaftar
-Prof Dr. Othman Mohamed.